12 April 2009

‘Atiiqah @ Teluk Batik, Perak

Agak lama ‘atiiqah tidak aktifkan blog ini sedangkan banyak kenangan dan perkara yang ‘atiiqah lakukan dalam bulan ini. Insya’Allah ‘atiqah akan kongsi semua pengalaman yang dilalui dalam blog ini. Kali ini ‘atiiqah nak cerita berkaitan pengalaman ke Teluk Batik di Perak. Inilah pengalaman pertama ‘atiiqah ke sana dan pengalaman pertama mandi laut kerana selama ini hanya memandang sahaja dari jauh. Sewaktu ke Morib dahulu ‘atiiqah tidak dapat mandi kerana ketika itu air laut sedang surut. Di Teluk Batik ini ‘atiiqah berkesempatan untuk berbuat demikian bersama dengan Abi tersayang.
Perjalanan kami ke Teluk Batik sebenarnya adalah kerana urusan ummi yang mahu mencari lokasi untuk memulakan perniagaannya. Alang-alang ke sana Abi memberitahu bahawa kami akan dibawa ke Teluk Batik dan kawasan sekitarnya yang menarik. Apa yang lebih menggembirakan ialah kami pergi bersama dengan Atuk, Opah dan Faiz iaitu seorang kanak-kanak seusia ‘atiiqah yang diasuh oleh Opah. Untuk ke sana Opah pagi-pagi lagi telah menyediakan juadah seperti mee goreng, nasi, lauk pauk dan kueh. Dapatlah juga merasa berkelah di tepian pantai bersama keluarga. Perjalanan yang panjang membuatkan
‘atiiqah masih lagi dalam keadaan mengantuk apabila tiba di sana dan terus tertidur sewaktu Abi, Ummi, Atuk, Opah dan Faiz menikmati hidangan. Setelah dikejutkan Abi ‘atiiqah baru sedar yang sekarang ‘atiiqah sudah berada di tepi pantai. Kedua-dua kami amat suka dengan laut pada awalnya tetapi apabila mendekati air laut ditambah dengan deruman ombak jadi takutlah pulak. Menangis ‘atiiqah tidak mahu mandi tetapi ditenangkan oleh Abi yang bertindak sebagai kaunselor efektif.
Kesimpulan disebabkan perasaan takut ‘atiiqah hanya mandi sekejap sahaja dan banyak bermain pasir di gigian pantai. Rugi pelampung yang Abi sewakan kepada ‘atiiqah kerana tidak digunakan langsung. Faiz pula jangankan hendak mandi, berada di tepi pantai pun sudah menangis. Kelihatan hanya atuk dan Abi sahaja yang mandi laut. Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan sekiranya ‘atiiqah ada peluang nanti ‘atiiqah akan ajak lagi abi dan ummi ke sana.
'

'

'