12 October 2009

Burung Murai dan Rambut Tak Cantik


Nuur ‘Atiiqah Mardhiyyah sekarang sudah pandai memberikan komen terhadap apa yang dilihatnya. Janganlah buat perkara2 yang tidak sepatutnya di hadapan dia kerana soalan demi soalan dan pertanyaan pasti akan ditanya kepada anda. Terdapat dua kejadian yang hendak saya kongsikan di sini di mana keletah Atiiqah yang membuatkan saya tidak kering gusi pada waktu kejadian tersebut dan pada bila2 waktu apabila mengenangkannya. Menonton tv bersama dengan Ummi dan Abi adalah kebiasaan bagi Atiiqah. Kadang2 kami lebih menonton aksinya daripada menonton tv kerana dia acap kali akan berada di hadapan tv dan menggayakan sesuatu yang telah dipelajarinya di sekolah. Paling tidak dia akan meniru gaya gurunya mengajar bermula dari mengambil nama murid sehinggalah memarahi kawan2nya. Satu persatu nama kawan2nya disebut sambil tangan memegang pensel dan menandakan di atas kertas. Itulah Atiiqah seorang budak yang sangat memerhati keadaan sekeliling dan cepat belajar daripada apa yang dipelajarinya.
Pada usianya tiga tahun Atiiqah sudah petah bercakap dan kata2nya mudah difahami. Kejadian pertama berkaitan dirinya yang hendak dikongsi disini ialah berkenaan dengan iklan petronas yang disiarkan pada hari raya baru2 ini yang memaparkan bagaimana dialog seorang ayah dengan anaknya yang gemar bertanya berulang kali berkaitan burung murai. Apabila iklan tersebut ditayangkan di skrin tv kami perhatikan Atiiqah begitu asyik melihat iklan tersebut tanpa sepatah kata dan matanya yang tidak berkedip langsung. Rupanya dia memerhati gelagat si abang dalam iklan tersebut kerana di saat penghujung iklan terus dia bersuara kepada kami. “Abi, Ummi, Abang tu tak tahu.. Burung Murai!” katanya sambil mengajuk gaya percakapan si ayah dalam iklan tersebut. Geli hati kami mendengarkannya apabila dia mengatakan si abang tidak tahu. Padanya mungkin sekali jawapan untuk soalan yang begitu mudah sudah mencukupi tetapi bila banyak kali ditanya dia sendiri pun rasa pelik.
Kedua apabila melihat astro ria di mana stesen tv tersebut menyiarkan gambar seorang penyanyi sedang menyanyi. Penyanyi tersebut ialah hafiz AF7. Atiiqah bukan hanya melihat tetapi memerhati. Secara tidak sengaja dia mengatakan kepada kami “Rambut dia tak cantik!”. Terkedu kami kerana budak sekecil dia sudah tahu menilai mana yang cantik atau tidak apabila berada di hadapan khalayak. Banyak yang boleh dipelajari di sini daripada gelagat Atiiqah. Pertamanya sebagai ibu bapa kita perlu memberikan contoh terbaik kerana anak kita. ingatlah bahawa mereka sentiasa memerhatikan tingkah laku kita dari semasa ke semasa. Baik budi pekerti kita baiklah akhlak anak kita dan begitulah juga sebaliknya.
'
'
'