17 December 2008

MelihaT aLam Maya!!

Dari segumpal darah dan setitis air mani, maka terciptalah janin. 9 bulan 10 hari diriku menghitung hari. Setiap hari semasa di dalam rahim Ummi, pasti terdengar kelunakan suara seseorang memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al Quran seperti surah Yusof, Maryam, Luqman dan surah Yaasin. Suara itu tidak jemu-jemu mengulangi bacaan-bacaan suci Al Quran. Semakin hari semakin membuak-buak kerinduan terhadap pemilik suara itu. Begitu indah setiap detik di dalam rahimmu Ummi.
Tanggal 1 Julai 2006, aku sudah tidak sabar-sabar ingin melihat dunia fana ini. Aku semakin kuat menekan keluar dari rahim Ummi walaupun aku sedar betapa perit Ummi menanggung kesakitannya. 2 julai 2006 jam 12.15, semakin kuat ku dengari suara-suara yang meminta Ummiku supaya lebih kuat meneran dan tepat jam 12.33 pagi, 2 Julai 2006 bersamaan 6 Rabiulawal 1427H , aku selamat dilahirkan oleh Ummiku.. Bisikan kalimah Azan dan Iqamah diperdengarkan di kiri dan kanan telingaku mengingatkan kembali kerinduan pada suara itu. Itulah Abiku yang selama ini ku tahu terlalu menanti kehadiranku..
Abi dan Ummi memanjatkan kesyukuran di atas kelahiranku. Terima kasih Abi dan Ummi. Aku diberi nama yang amat unik iaitu Nuur 'Atiiqah Mardhiyyah yang bermaksud 'Cahaya Yang Terpilih Lagi Diredhai'. InsyaALLAH...