01 December 2009

'Atiiqah @ Zoo Negara

video

Alhamdulillah, semalam 30 November 2009 dapat juga saya membawa anak kesayangan saya ini ke Zoo Negara. Untuk pengetahuan, sejak lahir inilah kali pertama Nuur 'Atiiqah Mardhiyyah menjejakkan kakinya ke zoo. Sudah lama saya dan isteri berhajat untuk membawanya melihat haiwan secara dekat tetapi tidak pernah berkesempatan. Tanpa dirancang, semalam tercapai juga hajat saya untuk membawanya ke sana.

Melalui pengamatan saya terdapat ramai juga pengunjung ke sana walaupun ia adalah hari bekerja. Mungkin sempena cuti persekolahan ibu bapa mengambil peluang membawa anak-anak bersiar-siar sekitar ibu kota di samping menguatkan lagi ikatan kekeluargaan. Setibanya di sana, kami memilih untuk menaiki tram iaitu sebuah kenderaan seakan bas yang digunakan untuk mengangkut penumpang mengelilingi sekitar kawasan zoo. Malang bagi kami apabila pemandu tram yang dinaiki membawanya dengan laju sehinggakan kami tidak sempat untuk menghayati haiwan-haiwan di sepanjang jalan yang dilaluinya. Kalau sudah Abi dan Umminya tidak dapat menghayati, 'Atiiqah sudah tentu lebih lagi. Perasaan menyesal menaiki tram dan membayar sebanyak RM15 untuk membawa masuk video kamera mula muncul apabila diperlakukan sebegini. Tiada apa yang sempat saya rakam untuk diabadikan sebagai kenangan.

Menghiburkan hati dan demi anak tersayang, sesudah sampai ke stesen terakhir saya membuat keputusan untuk berjalan kaki pula melihat secara dekat haiwan-haiwan yang terdapat di sini. Kasihan melihat isteri saya yang sedang sarat berbadan dua tetapi masih mahu mengikuti kami yang begitu teruja melihat haiwan. Alhamdulillah kali ini kami dapat melihat haiwan-haiwan ini secara dekat dan kesempatan yang ada tidak saya lepaskan dengan merakam aksi-aksi haiwan tersebut sebagai kenangan dan pelajaran buat anak saya di kemudian hari. Paling menarik ialah apabila kami dapat melihat gelagat seekor monyet secara tidak sengaja menaiki seekor rusa sambil mencari makanan bersama sekawan rusa yang lain.

Berbekalkan rakaman video yang ada, saya mencabar diri meng'explore software video yang terdapat dalam pc dan berusaha menjadikannya sebuah video tatapan siap suntingan beserta muzik latar untuk tayangan kepada anak kesayangan saya ini. Ermm.. lupa pula saya hendak beritahu yang 'Atiiqah mempunyai gaya beajar jenis visual. Adalah diharapkan dengan adanya video ini ia dapat menguatkan lagi ingatannya terhadap nama dan jenis-jenis haiwan yang terdapat di zoo. Berikut adalah hasil kerja saya berdasarkan video yang sempat diambil dan gambar kenangan kami bersama 'Atiiqah di Zoo Negara. Jumpa lagi..

'

'

12 October 2009

Burung Murai dan Rambut Tak Cantik


Nuur ‘Atiiqah Mardhiyyah sekarang sudah pandai memberikan komen terhadap apa yang dilihatnya. Janganlah buat perkara2 yang tidak sepatutnya di hadapan dia kerana soalan demi soalan dan pertanyaan pasti akan ditanya kepada anda. Terdapat dua kejadian yang hendak saya kongsikan di sini di mana keletah Atiiqah yang membuatkan saya tidak kering gusi pada waktu kejadian tersebut dan pada bila2 waktu apabila mengenangkannya. Menonton tv bersama dengan Ummi dan Abi adalah kebiasaan bagi Atiiqah. Kadang2 kami lebih menonton aksinya daripada menonton tv kerana dia acap kali akan berada di hadapan tv dan menggayakan sesuatu yang telah dipelajarinya di sekolah. Paling tidak dia akan meniru gaya gurunya mengajar bermula dari mengambil nama murid sehinggalah memarahi kawan2nya. Satu persatu nama kawan2nya disebut sambil tangan memegang pensel dan menandakan di atas kertas. Itulah Atiiqah seorang budak yang sangat memerhati keadaan sekeliling dan cepat belajar daripada apa yang dipelajarinya.
Pada usianya tiga tahun Atiiqah sudah petah bercakap dan kata2nya mudah difahami. Kejadian pertama berkaitan dirinya yang hendak dikongsi disini ialah berkenaan dengan iklan petronas yang disiarkan pada hari raya baru2 ini yang memaparkan bagaimana dialog seorang ayah dengan anaknya yang gemar bertanya berulang kali berkaitan burung murai. Apabila iklan tersebut ditayangkan di skrin tv kami perhatikan Atiiqah begitu asyik melihat iklan tersebut tanpa sepatah kata dan matanya yang tidak berkedip langsung. Rupanya dia memerhati gelagat si abang dalam iklan tersebut kerana di saat penghujung iklan terus dia bersuara kepada kami. “Abi, Ummi, Abang tu tak tahu.. Burung Murai!” katanya sambil mengajuk gaya percakapan si ayah dalam iklan tersebut. Geli hati kami mendengarkannya apabila dia mengatakan si abang tidak tahu. Padanya mungkin sekali jawapan untuk soalan yang begitu mudah sudah mencukupi tetapi bila banyak kali ditanya dia sendiri pun rasa pelik.
Kedua apabila melihat astro ria di mana stesen tv tersebut menyiarkan gambar seorang penyanyi sedang menyanyi. Penyanyi tersebut ialah hafiz AF7. Atiiqah bukan hanya melihat tetapi memerhati. Secara tidak sengaja dia mengatakan kepada kami “Rambut dia tak cantik!”. Terkedu kami kerana budak sekecil dia sudah tahu menilai mana yang cantik atau tidak apabila berada di hadapan khalayak. Banyak yang boleh dipelajari di sini daripada gelagat Atiiqah. Pertamanya sebagai ibu bapa kita perlu memberikan contoh terbaik kerana anak kita. ingatlah bahawa mereka sentiasa memerhatikan tingkah laku kita dari semasa ke semasa. Baik budi pekerti kita baiklah akhlak anak kita dan begitulah juga sebaliknya.
'
'
'

31 August 2009

Salam Kemerdekaan Dan Ulang Tahun Kelahiran Ke-3 Anakku

Hari ini tanggal 31 Ogos 2009 negara kita Malaysia menyambut kemerdekaan yang ke 52. Ini bermakna sudah 52 tahun kita merdeka. Nuur 'Atiiqah Mardhiyyah merupakan anak kelahiran pasca kemerdekaan termasuklah diri Abi sendiri. Bukanlah niat Abi untuk menjelaskan berkaitan kemerdekaan negara tetapi untuk menceritakan hal berkaitan majlis sambutan ulang tahun kelahiran anak Abi ke-3 tahun yang tidak sempat Abi coretkan di blog ini sedangkan ia merupakan satu pengalaman manis dan berharga buat diri mu sayang.
Pada tanggal 02 Julai 2009 yang lalu anak Abi telah genap usianya tiga tahun. Segala perancangan untuk menyambut ulang tahun kelahiranmu telah pun dibincangkan bersama dengan ummi. Untuk pengetahuanmu wahai anakku, setiap kali pulang ke sekolah dirimu akan memberitahu perihal kawan-kawan yang menyambut birthday di sekolah. Sikit-sikit, Ummi.. nak epi besday! Abi.. ‘Atiiqah nak epi besday! Fahamlah kami walaupun anak Abi ini masih kecil tetap mahu diraikan sama seperti kawan-kawanmu yang lain. Pagi tersebut memang tidak dirancangkan untuk Abi mengambil cuti rehat khas tetapi kerana badan terlalu letih dan mengenangkan ia adalah hari kelahiranmu maka Abi membuat keputusan untuk bercuti pada hari tersebut.
Ingat lagi tak pada malam sebelumnya kita sekeluarga telah ke Kajang Selangor untuk mendapatkan barang keperluan untuk majlis sambutan dan makanan ringan bagi diedarkan kepada kawan-kawan di sekolah. Menurut cikgu yang mengajar ‘Atiiqah di sekolah kebiasaan terdapat seramai 35 orang murid sahaja yang tinggal pada waktu petang. Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar. Antara makanan ringan yang dibeli ialah gula-gula, agar-agar sumi, belon, biskut dan air kotak. Selepas itu kita terus ke Bandar Baru Bangi bagi mendapatkan perkakasan untuk membuat muffin. Ummi sendiri mahu menyediakan muffin untuk kawan-kawan ‘Atiiqah. Abi tahu Ummi memang berbakat dalam menyediakan muffin cuma masalahnya masa begitu singkat sedangkan banyak muffin yang hendak dibuat. Kalau seorang dua biji bermakna 70 biji muffin perlu disediakan. Demi ‘Atiiqah Ummi sanggup menyediakannya walaupun terpaksa mengambil cuti juga pada hari berkenaan. Begitulah kasih sayang kami padamu wahai anakku.
Pagi yang ceria itu kita bersama menyediakan muffin untuk sambutan ulang tahun kelahiranmu. Anak Abi adalah orang yang paling sibuk menolong ummi sambil dibanti oleh Abi. Setelah selesai kita ke kedai kek yang terletak di Presint 8 Putrajaya untuk membeli kek hari jadi ‘Atiiqah dan kemudiannya terus ke sekolah. Sesampai sahaja di sekolah bukan 35 orang tetapi hampir 50 murid yang terdapat di situ. Terkejut juga Abi dan Ummi kerana makanan yang dibawa hanya sekitar 38 bungkus sahaja. Rupa-rupanya murid selebihnya adalah murid yang dihantar selepas waktu persekolahan dan mereka tidak terlibat dalam upacara sambutan kerana kawan-kawan ‘Atiiqah semuanya disuruh oleh cikgu untuk naik ke atas rumah dua tingkat yang dijadikan taska itu. Alhamdulillah lega hati Abi dan Ummi walau pun agak terkilan kerana sepatutnya mereka juga meraikan bersama.
Kali ini Abi nak ceritakan ragam ‘Atiiqah yang sebenar. Pada mulanya begitu sibuk hendak menyambut besday tetapi sampai sahaja di sana dan apabila cikgu Mas letakkan atas kerusi yang di hadapannya terdapat kek untuk dipotong terus sahaja diam menyepi seribu bahasa. Abi tahu mungkin anak Abi tidak menyangka yang anak Abi sendiri berada di hadapan sambil dikelilingi kawan-kawan yang menyanyikan lagu happy birthday dan Allah selamatkan kamu. Inilah kejutan kami buatmu wahai anakku. Suka Abi melihat gelagat kawan-kawan ‘Atiiqah yang semuanya ceria. Dengan dibantu oleh Ummi dan cikgu Mas ‘Atiiqah memotong kek hari jadi sebagai tanda meraikan kelahiran ke tiga tahun. Tahniah anakku kerana dikau kini sudah semakin meningkat usia setahun lagi dan semakin comel. Sungguh Abi tidak menyangka yang sesingkat ini sudah tiga tahun kita bersama. Rasanya seakan baru semalam Abi menyambut kelahiranmu yang pertama di hospital.
Terima kasih kepada pihak sekolah terutamanya Cikgu Zira dan Cikgu Mas kerana memberikan kerjasama untuk kami mengadakan majlis di sana dan ia sedikit sebanyak memberikan ‘Atiiqah kenangan manis yang akan dikenangnya apabila membaca coretan ini kelak. Terima kasih juga kepada kawan-kawan ‘Atiiqah yang baik dan sporting. Terima kasih Ummi kerana bersusah payah demi anak kita dan tahniah anakku atas kelahiranmu yang ketiga ini. Semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, menjadi anak yang solehah buat Abi dan Ummi dan semoga kehidupanmu diberkati Illahi.
'
'
'

30 August 2009

Dua Inggit!! Dua Inggit!! Dua Inggit!!


Sudah agak lama blog anakku ini tidak di ‘update’ lantaran kesibukan mengemaskini blog sendiri dan blog kaunseling sekolah menyebabkan segala pengalaman manis bersamanya berlalu begitu sahaja tanpa diabadikan. Insya’Allah dikala masa yang ada diberikan Allah ini akanku abadikan segala kenangan buat dirinya di dalam blog ini supaya suatu hari nanti dia tahu bahawa diriku begitu menyayangi dirinya dan terus menyambung penulisan di dalam blog ini yang ku dedikasikan khas buatnya.


Nuur ‘Atiiqah Mardhiyyah anakku kini sudah pun menjangkau usia 3 tahun 58 hari. Setiap hari keletahnya makin menjadi-jadi dan menghiburkan hatiku yang sememangnya suka melihat akan gelagatnya. Hendak dijadikan cerita minggu ini, kami sekeluarga dilamari penyakit demam, batuk dan selesema. Akulah orang yang paling awal sekali dilamar kemudian diikuti oleh anakku yang comel ini kemudiannya barulah isteriku. Sememangnya antara kami bertiga anakkulah orang yang paling cepat sembuh dari penyakit tersebut kerana dia tidak berpuasa so dia makan ubat mengikut aturannya tidak seperti abi dan umminya yang makan hanya ketika sahur dan berbuka sahaja.
Semalam, lantaran melihatkan barang-barang untuk dimasak di dapur sudah kehabisan maka aku mengusulkan kepada isteri agar bersiap untuk ke pasar ramadhan dan pasar malam di Presint 2 Putrajaya. Kebiasaannya di sini setiap selasa dan Jumaat akan diadakan pasar malam di mana antara barangan yang dijual adalah barangan basah selain makanan dan minuman. Dengan topeng di muka, kami tiga beranak ke pasar malam untuk membeli barangan basah seperti ikan, sotong, udang, ayam, daging dan sayur-sayuran untuk dibuat stok selama beberapa hari kerana malas untuk ke pasar setiap hari lagipun bulan puasa tidak banyak mana makannya. Anakku seperti biasa tangannya akan menggapai apa sahaja yang menarik minatnya termasuk ikan dan buah tomato yang dikatakannya buah oren. Selesai membeli semua barang yang dikehendaki kami ke pasar ramadhan bersebelahan membeli juadah untuk berbuka puasa dan kemudiannya terus pulang ke rumah.
Keesokan harinya apabila bangun pagi sesuatu yang memeranjatkan diriku telah berlaku di mana anakku berada di balkoni rumah sambil menjerit Dua inggit!! Dua inggit!! Dua inggit!! berulang kali sambil matanya melihat orang yang berada di bawah. lantas ku bertanya isteriku adalah dia yang mengajarkannya tetapi dia hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak. Fahamlah aku bahawa sewaktu di pasar malam dan pasar ramadhan semalam anakku bukan sahaja mengikut kami ke sana kemari tetapi dia memerhati apa yang berlaku di sekelilingnya dan perkataan dua inggit itu mungkin ialah perkataan dua ringgit!! yang lazimnya diungkapkan oleh penjual yang mahu menjual barangnya dan itu menjadi perhatian anakku. Insya’Allah ada masa nanti akan kucari peniaga yang mampu menarik minat anakku dan apakah yang dijualnya sehinggakan anakku begitu suka akan gelagatnya. :
)
'
'
'

22 June 2009

"SelaMat HaRi Bapa"


Masih belum terlewat untuk 'Atiiqah ucapkan "Selamat Hari Bapa" buat Abi tercinta. Abi adalah bapa terbaik buat 'Atiiqah. 'Atiiqah bersyukur dan bangga sangat punyai bapa seperti Abi. Terima kasih atas segalanya.

12 April 2009

‘Atiiqah @ Teluk Batik, Perak

Agak lama ‘atiiqah tidak aktifkan blog ini sedangkan banyak kenangan dan perkara yang ‘atiiqah lakukan dalam bulan ini. Insya’Allah ‘atiqah akan kongsi semua pengalaman yang dilalui dalam blog ini. Kali ini ‘atiiqah nak cerita berkaitan pengalaman ke Teluk Batik di Perak. Inilah pengalaman pertama ‘atiiqah ke sana dan pengalaman pertama mandi laut kerana selama ini hanya memandang sahaja dari jauh. Sewaktu ke Morib dahulu ‘atiiqah tidak dapat mandi kerana ketika itu air laut sedang surut. Di Teluk Batik ini ‘atiiqah berkesempatan untuk berbuat demikian bersama dengan Abi tersayang.
Perjalanan kami ke Teluk Batik sebenarnya adalah kerana urusan ummi yang mahu mencari lokasi untuk memulakan perniagaannya. Alang-alang ke sana Abi memberitahu bahawa kami akan dibawa ke Teluk Batik dan kawasan sekitarnya yang menarik. Apa yang lebih menggembirakan ialah kami pergi bersama dengan Atuk, Opah dan Faiz iaitu seorang kanak-kanak seusia ‘atiiqah yang diasuh oleh Opah. Untuk ke sana Opah pagi-pagi lagi telah menyediakan juadah seperti mee goreng, nasi, lauk pauk dan kueh. Dapatlah juga merasa berkelah di tepian pantai bersama keluarga. Perjalanan yang panjang membuatkan
‘atiiqah masih lagi dalam keadaan mengantuk apabila tiba di sana dan terus tertidur sewaktu Abi, Ummi, Atuk, Opah dan Faiz menikmati hidangan. Setelah dikejutkan Abi ‘atiiqah baru sedar yang sekarang ‘atiiqah sudah berada di tepi pantai. Kedua-dua kami amat suka dengan laut pada awalnya tetapi apabila mendekati air laut ditambah dengan deruman ombak jadi takutlah pulak. Menangis ‘atiiqah tidak mahu mandi tetapi ditenangkan oleh Abi yang bertindak sebagai kaunselor efektif.
Kesimpulan disebabkan perasaan takut ‘atiiqah hanya mandi sekejap sahaja dan banyak bermain pasir di gigian pantai. Rugi pelampung yang Abi sewakan kepada ‘atiiqah kerana tidak digunakan langsung. Faiz pula jangankan hendak mandi, berada di tepi pantai pun sudah menangis. Kelihatan hanya atuk dan Abi sahaja yang mandi laut. Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan sekiranya ‘atiiqah ada peluang nanti ‘atiiqah akan ajak lagi abi dan ummi ke sana.
'

'

'

07 February 2009

PerMaTa aBi dAn UmMi..

Lagu ini 'Atiiqah dedekasikan khas untuk Abi dan Ummi..
'
'
'

02 February 2009

AnaKku YaNg BerMaTa BuLaT

Sebenarnya bukan kami sahaja yang perasan anak ini mempunyai sepasang mata yang unik iaitu mata hitammya bulat dan besar. sejak di awal kelahirannya lagi sudah ramai saudara mara yang menegur mengenai mata anakku ini. Hari pertama kelahirannya sahaja sudah ditegur oleh Ayah Lang sewaktu berselisih ketika hendak memasuki wad bersalin untuk menziarahi isteri dan anakku di hospital.
Begitulah halnya anakku sehingga ke hari ini tidak putus-putus dipandang, ditenang dan ditegur kerana memiliki sepasang mata yang bulat dan besar. Terdapat ramai juga di kalangan bangsa lain seperti Cina dan India yang menegur matanya membuatkan kami terasa begitu betuah apabila anak ini diberi perhatian.
Untuk pengetahuan, 'Atiiqah bukan sahaja mempunyai mata hitam yang bulat dan besar tetapi pandangannya juga amat fokus. Bayangkan ketika menaiki kenderaan apalah sangat yang boleh dipandang dengan kelajuan kenderaan yang meluncur tetapi matanya cepat sahaja menangkap objek-objek sekeliling terutamanya kapal terbang yang tinggi di langit. Bulan dan bintang usah dikira, hatta kucing yang berehat di atas bumbung pun ditelitinya. Ditambah pula dengan mulutnya yang macam bertih goreng bila berbicara, membuatkan kami juga turut mencari dan memerhati apa yang ditunjukkan olehnya. Sememangnya itulah kelebihan yang dikurniakan Allah kepadanya. Paling melucukan baru-baru ini ketika saya bertanya kepadanya ini apa? (sambil tangan menunjuk kepada matanya) dengan pantas dia menjawab: "Mata bulat!". lalu saya bertanya kepada isteri adakah dia mengajarnya tetapi jawapannya tidak. Kesimpulan yang dapat dibuat, mungkin gurunya di sekolah yang memberitahu sehingga sepontan terpacul dari mulutnya bila ditanya tentang matanya yang bulat itu.

Gambar terbaru 'Atiiqah ketika dalam perjalanan balik ke Ipoh.

Bulat dan besar tak matanya?

19 January 2009

'AtiiQah Di BaNdaRayA MeLaKa..

Tanggal 13 Januari 2009 yang lalu ‘Atiiqah bersama dengan Ummi, Abi, Wan serta Acik ke Bandaraya Melaka. Rasanya inilah pertama kali ‘Atiiqah menjejakkan kaki di Bandaraya Melaka. Tujuan berada di Melaka sebenarnya adalah untuk menghantar Acik yang kini belajar di kolej Komuniti Jasin, Melaka. Sambil menghantar Acik kami semua mengambil kesempatan berjalan-jalan di sekitar Melaka.
‘Atiiqah sangat suka apabila mendapat tahu akan dibawa ke tempat-tempat menarik di sekitar bandaraya tetapi agak mendukacitakan apabila semua yang Abi dan Ummi rancang tidak menjadi. Ummi sangat teringin untuk makan ikan bakar di Perkampungan Ikan Bakar Terapung yang terletak di Umbai tetapi restoran tersebut hanya memulakan operasinya pada pukul 5 petang sedangkan kami sampai disana pada pukul 3 petang. Untuk memuaskan hati Ummi kami pergi ke setiap restoran yang menjual ikan bakar tetapi malangnya semua hanya beroperasi pada pukul 5 petang. Akhirnya kami singgah makan di sebuah restoran yang terletak di tepi sebuah sekolah. Terima kasih kepada Wan yang sudi belanja kami makan. Alhamdulillah… Saaaayyang Wan!
Selepas makan Abi membawa kami ke Menara Taming Sari tetapi sekali lagi ‘Atiiqah sedih kerana menara tersebut dalam proses pembaikan. Seminggu pulak kerja pembaikan tersebut menyebabkan kami semua tidak dapat menikmati pemandangan sekitar Melaka. Terubatlah juga hati ‘Atiiqah apabila dapat bergambar di hadapan bas dua tingkat yang terdapat di sana. Rasa macam berada di London pulak! Akhirnya Abi membawa ‘Atiiqah, Ummi, Wan serta Acik untuk menaiki River cruise iaitu bot yang mengelilingi sungai Melaka. Sekali lagi mendukacitakan apabila perkhidmatan bot hanya akan beroperasi sekiranya terdapat 12 penumpang dewasa sedangkan kami hanya 5 orang pada waktu tersebut.
Akhirnya memandangkan waktu sudah menghampiri senja kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke Putrajaya lagipun Wan akan menaiki bas ke Pulau Pinang pada jam 11 malam itu juga. Tinggallah Acik di tempat barunya untuk menuntut ilmu. ‘Atiiqah doakan agar Acik dapat belajar bersungguh-sungguh disana dan menjadi contoh kepada ‘Atiiqah untuk sentiasa menuntut ilmu. ‘Atiiqah pun sekarang sudah sekolah.. kita saing yuk!
,
,

06 January 2009

Anakku Pergi Sekolah

'Atiiqah memberikan pose istimewa sebelum ke sekolah.
Cantik tak uniform dan beg sekolah 'Atiiqah?


Alhamdulillah… hari ini adalah hari ke dua anakku ini memasuki alam persekolahan. Dikala umurnya baru mencecah 2 tahun 6 bulan aku dan isteriku mengambil keputusan untuk menghantarnya ke sekolah yang menerima kanak-kanak seusianya. Keputusan untuk menghantar Nuur ‘Atiiqah ke sekolah dibuat memandangkan daya penerimaan dirinya terhadap pembelajaran amat teserlah sejak mula bercakap iaitu sekitar setahun enam bulan lalu. Buktinya sekarang dia sudah pun pandai membaca doa makan, doa masuk tandas, doa tidur dan yang terbaru doa menaiki kenderaan. Doa menaiki kenderaan adalah doa terbaru yang dihafalnya hari ini. Sungguh menakjubkan dan terkesima apabila mendengar anakku melafazkannya memandangkan doa tersebut panjang dan baru beberapa hari sahaja aku betul-betul mengajarnya itupun secara tidak langsung ketika menaiki kenderaan.
Nuur ‘Atiiqah Mardhiyyah kini bersekolah di Cildren Islamic Center (CIC) bertempat di presint 9 Putrajaya.
'
'
'