30 August 2009

Dua Inggit!! Dua Inggit!! Dua Inggit!!


Sudah agak lama blog anakku ini tidak di ‘update’ lantaran kesibukan mengemaskini blog sendiri dan blog kaunseling sekolah menyebabkan segala pengalaman manis bersamanya berlalu begitu sahaja tanpa diabadikan. Insya’Allah dikala masa yang ada diberikan Allah ini akanku abadikan segala kenangan buat dirinya di dalam blog ini supaya suatu hari nanti dia tahu bahawa diriku begitu menyayangi dirinya dan terus menyambung penulisan di dalam blog ini yang ku dedikasikan khas buatnya.


Nuur ‘Atiiqah Mardhiyyah anakku kini sudah pun menjangkau usia 3 tahun 58 hari. Setiap hari keletahnya makin menjadi-jadi dan menghiburkan hatiku yang sememangnya suka melihat akan gelagatnya. Hendak dijadikan cerita minggu ini, kami sekeluarga dilamari penyakit demam, batuk dan selesema. Akulah orang yang paling awal sekali dilamar kemudian diikuti oleh anakku yang comel ini kemudiannya barulah isteriku. Sememangnya antara kami bertiga anakkulah orang yang paling cepat sembuh dari penyakit tersebut kerana dia tidak berpuasa so dia makan ubat mengikut aturannya tidak seperti abi dan umminya yang makan hanya ketika sahur dan berbuka sahaja.
Semalam, lantaran melihatkan barang-barang untuk dimasak di dapur sudah kehabisan maka aku mengusulkan kepada isteri agar bersiap untuk ke pasar ramadhan dan pasar malam di Presint 2 Putrajaya. Kebiasaannya di sini setiap selasa dan Jumaat akan diadakan pasar malam di mana antara barangan yang dijual adalah barangan basah selain makanan dan minuman. Dengan topeng di muka, kami tiga beranak ke pasar malam untuk membeli barangan basah seperti ikan, sotong, udang, ayam, daging dan sayur-sayuran untuk dibuat stok selama beberapa hari kerana malas untuk ke pasar setiap hari lagipun bulan puasa tidak banyak mana makannya. Anakku seperti biasa tangannya akan menggapai apa sahaja yang menarik minatnya termasuk ikan dan buah tomato yang dikatakannya buah oren. Selesai membeli semua barang yang dikehendaki kami ke pasar ramadhan bersebelahan membeli juadah untuk berbuka puasa dan kemudiannya terus pulang ke rumah.
Keesokan harinya apabila bangun pagi sesuatu yang memeranjatkan diriku telah berlaku di mana anakku berada di balkoni rumah sambil menjerit Dua inggit!! Dua inggit!! Dua inggit!! berulang kali sambil matanya melihat orang yang berada di bawah. lantas ku bertanya isteriku adalah dia yang mengajarkannya tetapi dia hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak. Fahamlah aku bahawa sewaktu di pasar malam dan pasar ramadhan semalam anakku bukan sahaja mengikut kami ke sana kemari tetapi dia memerhati apa yang berlaku di sekelilingnya dan perkataan dua inggit itu mungkin ialah perkataan dua ringgit!! yang lazimnya diungkapkan oleh penjual yang mahu menjual barangnya dan itu menjadi perhatian anakku. Insya’Allah ada masa nanti akan kucari peniaga yang mampu menarik minat anakku dan apakah yang dijualnya sehinggakan anakku begitu suka akan gelagatnya. :
)
'
'
'

No comments:

Post a Comment