Showing posts with label Catatan Abi. Show all posts
Showing posts with label Catatan Abi. Show all posts

01 December 2009

'Atiiqah @ Zoo Negara

Alhamdulillah, semalam 30 November 2009 dapat juga saya membawa anak kesayangan saya ini ke Zoo Negara. Untuk pengetahuan, sejak lahir inilah kali pertama Nuur 'Atiiqah Mardhiyyah menjejakkan kakinya ke zoo. Sudah lama saya dan isteri berhajat untuk membawanya melihat haiwan secara dekat tetapi tidak pernah berkesempatan. Tanpa dirancang, semalam tercapai juga hajat saya untuk membawanya ke sana.

Melalui pengamatan saya terdapat ramai juga pengunjung ke sana walaupun ia adalah hari bekerja. Mungkin sempena cuti persekolahan ibu bapa mengambil peluang membawa anak-anak bersiar-siar sekitar ibu kota di samping menguatkan lagi ikatan kekeluargaan. Setibanya di sana, kami memilih untuk menaiki tram iaitu sebuah kenderaan seakan bas yang digunakan untuk mengangkut penumpang mengelilingi sekitar kawasan zoo. Malang bagi kami apabila pemandu tram yang dinaiki membawanya dengan laju sehinggakan kami tidak sempat untuk menghayati haiwan-haiwan di sepanjang jalan yang dilaluinya. Kalau sudah Abi dan Umminya tidak dapat menghayati, 'Atiiqah sudah tentu lebih lagi. Perasaan menyesal menaiki tram dan membayar sebanyak RM15 untuk membawa masuk video kamera mula muncul apabila diperlakukan sebegini. Tiada apa yang sempat saya rakam untuk diabadikan sebagai kenangan.

Menghiburkan hati dan demi anak tersayang, sesudah sampai ke stesen terakhir saya membuat keputusan untuk berjalan kaki pula melihat secara dekat haiwan-haiwan yang terdapat di sini. Kasihan melihat isteri saya yang sedang sarat berbadan dua tetapi masih mahu mengikuti kami yang begitu teruja melihat haiwan. Alhamdulillah kali ini kami dapat melihat haiwan-haiwan ini secara dekat dan kesempatan yang ada tidak saya lepaskan dengan merakam aksi-aksi haiwan tersebut sebagai kenangan dan pelajaran buat anak saya di kemudian hari. Paling menarik ialah apabila kami dapat melihat gelagat seekor monyet secara tidak sengaja menaiki seekor rusa sambil mencari makanan bersama sekawan rusa yang lain.

Berbekalkan rakaman video yang ada, saya mencabar diri meng'explore software video yang terdapat dalam pc dan berusaha menjadikannya sebuah video tatapan siap suntingan beserta muzik latar untuk tayangan kepada anak kesayangan saya ini. Ermm.. lupa pula saya hendak beritahu yang 'Atiiqah mempunyai gaya beajar jenis visual. Adalah diharapkan dengan adanya video ini ia dapat menguatkan lagi ingatannya terhadap nama dan jenis-jenis haiwan yang terdapat di zoo. Berikut adalah hasil kerja saya berdasarkan video yang sempat diambil dan gambar kenangan kami bersama 'Atiiqah di Zoo Negara. Jumpa lagi..

'

'

12 October 2009

Burung Murai dan Rambut Tak Cantik


Nuur ‘Atiiqah Mardhiyyah sekarang sudah pandai memberikan komen terhadap apa yang dilihatnya. Janganlah buat perkara2 yang tidak sepatutnya di hadapan dia kerana soalan demi soalan dan pertanyaan pasti akan ditanya kepada anda. Terdapat dua kejadian yang hendak saya kongsikan di sini di mana keletah Atiiqah yang membuatkan saya tidak kering gusi pada waktu kejadian tersebut dan pada bila2 waktu apabila mengenangkannya. Menonton tv bersama dengan Ummi dan Abi adalah kebiasaan bagi Atiiqah. Kadang2 kami lebih menonton aksinya daripada menonton tv kerana dia acap kali akan berada di hadapan tv dan menggayakan sesuatu yang telah dipelajarinya di sekolah. Paling tidak dia akan meniru gaya gurunya mengajar bermula dari mengambil nama murid sehinggalah memarahi kawan2nya. Satu persatu nama kawan2nya disebut sambil tangan memegang pensel dan menandakan di atas kertas. Itulah Atiiqah seorang budak yang sangat memerhati keadaan sekeliling dan cepat belajar daripada apa yang dipelajarinya.
Pada usianya tiga tahun Atiiqah sudah petah bercakap dan kata2nya mudah difahami. Kejadian pertama berkaitan dirinya yang hendak dikongsi disini ialah berkenaan dengan iklan petronas yang disiarkan pada hari raya baru2 ini yang memaparkan bagaimana dialog seorang ayah dengan anaknya yang gemar bertanya berulang kali berkaitan burung murai. Apabila iklan tersebut ditayangkan di skrin tv kami perhatikan Atiiqah begitu asyik melihat iklan tersebut tanpa sepatah kata dan matanya yang tidak berkedip langsung. Rupanya dia memerhati gelagat si abang dalam iklan tersebut kerana di saat penghujung iklan terus dia bersuara kepada kami. “Abi, Ummi, Abang tu tak tahu.. Burung Murai!” katanya sambil mengajuk gaya percakapan si ayah dalam iklan tersebut. Geli hati kami mendengarkannya apabila dia mengatakan si abang tidak tahu. Padanya mungkin sekali jawapan untuk soalan yang begitu mudah sudah mencukupi tetapi bila banyak kali ditanya dia sendiri pun rasa pelik.
Kedua apabila melihat astro ria di mana stesen tv tersebut menyiarkan gambar seorang penyanyi sedang menyanyi. Penyanyi tersebut ialah hafiz AF7. Atiiqah bukan hanya melihat tetapi memerhati. Secara tidak sengaja dia mengatakan kepada kami “Rambut dia tak cantik!”. Terkedu kami kerana budak sekecil dia sudah tahu menilai mana yang cantik atau tidak apabila berada di hadapan khalayak. Banyak yang boleh dipelajari di sini daripada gelagat Atiiqah. Pertamanya sebagai ibu bapa kita perlu memberikan contoh terbaik kerana anak kita. ingatlah bahawa mereka sentiasa memerhatikan tingkah laku kita dari semasa ke semasa. Baik budi pekerti kita baiklah akhlak anak kita dan begitulah juga sebaliknya.
'
'
'

30 August 2009

Dua Inggit!! Dua Inggit!! Dua Inggit!!


Sudah agak lama blog anakku ini tidak di ‘update’ lantaran kesibukan mengemaskini blog sendiri dan blog kaunseling sekolah menyebabkan segala pengalaman manis bersamanya berlalu begitu sahaja tanpa diabadikan. Insya’Allah dikala masa yang ada diberikan Allah ini akanku abadikan segala kenangan buat dirinya di dalam blog ini supaya suatu hari nanti dia tahu bahawa diriku begitu menyayangi dirinya dan terus menyambung penulisan di dalam blog ini yang ku dedikasikan khas buatnya.


Nuur ‘Atiiqah Mardhiyyah anakku kini sudah pun menjangkau usia 3 tahun 58 hari. Setiap hari keletahnya makin menjadi-jadi dan menghiburkan hatiku yang sememangnya suka melihat akan gelagatnya. Hendak dijadikan cerita minggu ini, kami sekeluarga dilamari penyakit demam, batuk dan selesema. Akulah orang yang paling awal sekali dilamar kemudian diikuti oleh anakku yang comel ini kemudiannya barulah isteriku. Sememangnya antara kami bertiga anakkulah orang yang paling cepat sembuh dari penyakit tersebut kerana dia tidak berpuasa so dia makan ubat mengikut aturannya tidak seperti abi dan umminya yang makan hanya ketika sahur dan berbuka sahaja.
Semalam, lantaran melihatkan barang-barang untuk dimasak di dapur sudah kehabisan maka aku mengusulkan kepada isteri agar bersiap untuk ke pasar ramadhan dan pasar malam di Presint 2 Putrajaya. Kebiasaannya di sini setiap selasa dan Jumaat akan diadakan pasar malam di mana antara barangan yang dijual adalah barangan basah selain makanan dan minuman. Dengan topeng di muka, kami tiga beranak ke pasar malam untuk membeli barangan basah seperti ikan, sotong, udang, ayam, daging dan sayur-sayuran untuk dibuat stok selama beberapa hari kerana malas untuk ke pasar setiap hari lagipun bulan puasa tidak banyak mana makannya. Anakku seperti biasa tangannya akan menggapai apa sahaja yang menarik minatnya termasuk ikan dan buah tomato yang dikatakannya buah oren. Selesai membeli semua barang yang dikehendaki kami ke pasar ramadhan bersebelahan membeli juadah untuk berbuka puasa dan kemudiannya terus pulang ke rumah.
Keesokan harinya apabila bangun pagi sesuatu yang memeranjatkan diriku telah berlaku di mana anakku berada di balkoni rumah sambil menjerit Dua inggit!! Dua inggit!! Dua inggit!! berulang kali sambil matanya melihat orang yang berada di bawah. lantas ku bertanya isteriku adalah dia yang mengajarkannya tetapi dia hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak. Fahamlah aku bahawa sewaktu di pasar malam dan pasar ramadhan semalam anakku bukan sahaja mengikut kami ke sana kemari tetapi dia memerhati apa yang berlaku di sekelilingnya dan perkataan dua inggit itu mungkin ialah perkataan dua ringgit!! yang lazimnya diungkapkan oleh penjual yang mahu menjual barangnya dan itu menjadi perhatian anakku. Insya’Allah ada masa nanti akan kucari peniaga yang mampu menarik minat anakku dan apakah yang dijualnya sehinggakan anakku begitu suka akan gelagatnya. :
)
'
'
'

02 February 2009

AnaKku YaNg BerMaTa BuLaT

Sebenarnya bukan kami sahaja yang perasan anak ini mempunyai sepasang mata yang unik iaitu mata hitammya bulat dan besar. sejak di awal kelahirannya lagi sudah ramai saudara mara yang menegur mengenai mata anakku ini. Hari pertama kelahirannya sahaja sudah ditegur oleh Ayah Lang sewaktu berselisih ketika hendak memasuki wad bersalin untuk menziarahi isteri dan anakku di hospital.
Begitulah halnya anakku sehingga ke hari ini tidak putus-putus dipandang, ditenang dan ditegur kerana memiliki sepasang mata yang bulat dan besar. Terdapat ramai juga di kalangan bangsa lain seperti Cina dan India yang menegur matanya membuatkan kami terasa begitu betuah apabila anak ini diberi perhatian.
Untuk pengetahuan, 'Atiiqah bukan sahaja mempunyai mata hitam yang bulat dan besar tetapi pandangannya juga amat fokus. Bayangkan ketika menaiki kenderaan apalah sangat yang boleh dipandang dengan kelajuan kenderaan yang meluncur tetapi matanya cepat sahaja menangkap objek-objek sekeliling terutamanya kapal terbang yang tinggi di langit. Bulan dan bintang usah dikira, hatta kucing yang berehat di atas bumbung pun ditelitinya. Ditambah pula dengan mulutnya yang macam bertih goreng bila berbicara, membuatkan kami juga turut mencari dan memerhati apa yang ditunjukkan olehnya. Sememangnya itulah kelebihan yang dikurniakan Allah kepadanya. Paling melucukan baru-baru ini ketika saya bertanya kepadanya ini apa? (sambil tangan menunjuk kepada matanya) dengan pantas dia menjawab: "Mata bulat!". lalu saya bertanya kepada isteri adakah dia mengajarnya tetapi jawapannya tidak. Kesimpulan yang dapat dibuat, mungkin gurunya di sekolah yang memberitahu sehingga sepontan terpacul dari mulutnya bila ditanya tentang matanya yang bulat itu.

Gambar terbaru 'Atiiqah ketika dalam perjalanan balik ke Ipoh.

Bulat dan besar tak matanya?