31 August 2009

Salam Kemerdekaan Dan Ulang Tahun Kelahiran Ke-3 Anakku

Hari ini tanggal 31 Ogos 2009 negara kita Malaysia menyambut kemerdekaan yang ke 52. Ini bermakna sudah 52 tahun kita merdeka. Nuur 'Atiiqah Mardhiyyah merupakan anak kelahiran pasca kemerdekaan termasuklah diri Abi sendiri. Bukanlah niat Abi untuk menjelaskan berkaitan kemerdekaan negara tetapi untuk menceritakan hal berkaitan majlis sambutan ulang tahun kelahiran anak Abi ke-3 tahun yang tidak sempat Abi coretkan di blog ini sedangkan ia merupakan satu pengalaman manis dan berharga buat diri mu sayang.
Pada tanggal 02 Julai 2009 yang lalu anak Abi telah genap usianya tiga tahun. Segala perancangan untuk menyambut ulang tahun kelahiranmu telah pun dibincangkan bersama dengan ummi. Untuk pengetahuanmu wahai anakku, setiap kali pulang ke sekolah dirimu akan memberitahu perihal kawan-kawan yang menyambut birthday di sekolah. Sikit-sikit, Ummi.. nak epi besday! Abi.. ‘Atiiqah nak epi besday! Fahamlah kami walaupun anak Abi ini masih kecil tetap mahu diraikan sama seperti kawan-kawanmu yang lain. Pagi tersebut memang tidak dirancangkan untuk Abi mengambil cuti rehat khas tetapi kerana badan terlalu letih dan mengenangkan ia adalah hari kelahiranmu maka Abi membuat keputusan untuk bercuti pada hari tersebut.
Ingat lagi tak pada malam sebelumnya kita sekeluarga telah ke Kajang Selangor untuk mendapatkan barang keperluan untuk majlis sambutan dan makanan ringan bagi diedarkan kepada kawan-kawan di sekolah. Menurut cikgu yang mengajar ‘Atiiqah di sekolah kebiasaan terdapat seramai 35 orang murid sahaja yang tinggal pada waktu petang. Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar. Antara makanan ringan yang dibeli ialah gula-gula, agar-agar sumi, belon, biskut dan air kotak. Selepas itu kita terus ke Bandar Baru Bangi bagi mendapatkan perkakasan untuk membuat muffin. Ummi sendiri mahu menyediakan muffin untuk kawan-kawan ‘Atiiqah. Abi tahu Ummi memang berbakat dalam menyediakan muffin cuma masalahnya masa begitu singkat sedangkan banyak muffin yang hendak dibuat. Kalau seorang dua biji bermakna 70 biji muffin perlu disediakan. Demi ‘Atiiqah Ummi sanggup menyediakannya walaupun terpaksa mengambil cuti juga pada hari berkenaan. Begitulah kasih sayang kami padamu wahai anakku.
Pagi yang ceria itu kita bersama menyediakan muffin untuk sambutan ulang tahun kelahiranmu. Anak Abi adalah orang yang paling sibuk menolong ummi sambil dibanti oleh Abi. Setelah selesai kita ke kedai kek yang terletak di Presint 8 Putrajaya untuk membeli kek hari jadi ‘Atiiqah dan kemudiannya terus ke sekolah. Sesampai sahaja di sekolah bukan 35 orang tetapi hampir 50 murid yang terdapat di situ. Terkejut juga Abi dan Ummi kerana makanan yang dibawa hanya sekitar 38 bungkus sahaja. Rupa-rupanya murid selebihnya adalah murid yang dihantar selepas waktu persekolahan dan mereka tidak terlibat dalam upacara sambutan kerana kawan-kawan ‘Atiiqah semuanya disuruh oleh cikgu untuk naik ke atas rumah dua tingkat yang dijadikan taska itu. Alhamdulillah lega hati Abi dan Ummi walau pun agak terkilan kerana sepatutnya mereka juga meraikan bersama.
Kali ini Abi nak ceritakan ragam ‘Atiiqah yang sebenar. Pada mulanya begitu sibuk hendak menyambut besday tetapi sampai sahaja di sana dan apabila cikgu Mas letakkan atas kerusi yang di hadapannya terdapat kek untuk dipotong terus sahaja diam menyepi seribu bahasa. Abi tahu mungkin anak Abi tidak menyangka yang anak Abi sendiri berada di hadapan sambil dikelilingi kawan-kawan yang menyanyikan lagu happy birthday dan Allah selamatkan kamu. Inilah kejutan kami buatmu wahai anakku. Suka Abi melihat gelagat kawan-kawan ‘Atiiqah yang semuanya ceria. Dengan dibantu oleh Ummi dan cikgu Mas ‘Atiiqah memotong kek hari jadi sebagai tanda meraikan kelahiran ke tiga tahun. Tahniah anakku kerana dikau kini sudah semakin meningkat usia setahun lagi dan semakin comel. Sungguh Abi tidak menyangka yang sesingkat ini sudah tiga tahun kita bersama. Rasanya seakan baru semalam Abi menyambut kelahiranmu yang pertama di hospital.
Terima kasih kepada pihak sekolah terutamanya Cikgu Zira dan Cikgu Mas kerana memberikan kerjasama untuk kami mengadakan majlis di sana dan ia sedikit sebanyak memberikan ‘Atiiqah kenangan manis yang akan dikenangnya apabila membaca coretan ini kelak. Terima kasih juga kepada kawan-kawan ‘Atiiqah yang baik dan sporting. Terima kasih Ummi kerana bersusah payah demi anak kita dan tahniah anakku atas kelahiranmu yang ketiga ini. Semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, menjadi anak yang solehah buat Abi dan Ummi dan semoga kehidupanmu diberkati Illahi.
'
'
'

No comments:

Post a Comment