Alhamdulillah, semalam 30 November 2009 dapat juga saya membawa anak kesayangan saya ini ke Zoo Negara. Untuk pengetahuan, sejak lahir inilah kali pertama Nuur 'Atiiqah Mardhiyyah menjejakkan kakinya ke zoo. Sudah lama saya dan isteri berhajat untuk membawanya melihat haiwan secara dekat tetapi tidak pernah berkesempatan. Tanpa dirancang, semalam tercapai juga hajat saya untuk membawanya ke sana.
Melalui pengamatan saya terdapat ramai juga pengunjung ke sana walaupun ia adalah hari bekerja. Mungkin sempena cuti persekolahan ibu bapa mengambil peluang membawa anak-anak bersiar-siar sekitar ibu kota di samping menguatkan lagi ikatan kekeluargaan. Setibanya di sana, kami memilih untuk menaiki tram iaitu sebuah kenderaan seakan bas yang digunakan untuk mengangkut penumpang mengelilingi sekitar kawasan zoo. Malang bagi kami apabila pemandu tram yang dinaiki membawanya dengan laju sehinggakan kami tidak sempat untuk menghayati haiwan-haiwan di sepanjang jalan yang dilaluinya. Kalau sudah Abi dan Umminya tidak dapat menghayati, 'Atiiqah sudah tentu lebih lagi. Perasaan menyesal menaiki tram dan membayar sebanyak RM15 untuk membawa masuk video kamera mula muncul apabila diperlakukan sebegini. Tiada apa yang sempat saya rakam untuk diabadikan sebagai kenangan.
Menghiburkan hati dan demi anak tersayang, sesudah sampai ke stesen terakhir saya membuat keputusan untuk berjalan kaki pula melihat secara dekat haiwan-haiwan yang terdapat di sini. Kasihan melihat isteri saya yang sedang sarat berbadan dua tetapi masih mahu mengikuti kami yang begitu teruja melihat haiwan. Alhamdulillah kali ini kami dapat melihat haiwan-haiwan ini secara dekat dan kesempatan yang ada tidak saya lepaskan dengan merakam aksi-aksi haiwan tersebut sebagai kenangan dan pelajaran buat anak saya di kemudian hari. Paling menarik ialah apabila kami dapat melihat gelagat seekor monyet secara tidak sengaja menaiki seekor rusa sambil mencari makanan bersama sekawan rusa yang lain.
Berbekalkan rakaman video yang ada, saya mencabar diri meng'explore software video yang terdapat dalam pc dan berusaha menjadikannya sebuah video tatapan siap suntingan beserta muzik latar untuk tayangan kepada anak kesayangan saya ini. Ermm.. lupa pula saya hendak beritahu yang 'Atiiqah mempunyai gaya beajar jenis visual. Adalah diharapkan dengan adanya video ini ia dapat menguatkan lagi ingatannya terhadap nama dan jenis-jenis haiwan yang terdapat di zoo. Berikut adalah hasil kerja saya berdasarkan video yang sempat diambil dan gambar kenangan kami bersama 'Atiiqah di Zoo Negara. Jumpa lagi..
'
'